BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sabtu, 24 Oktober 2009

SEJARAH HAJI

Dari segi sejarah, ibadah haji ialah syariat yang dibawa oleh junjungan Nabi kita Muhammad S.A.W. sebagai membaharui dan menyambung ajaran Nabi Allah Ibrahim A.S. Ibadat haji mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah, mengikut haul yang mashur iaitu dengan turunnya ayat 97 surah Al-Imran yang bermaksud : Dan Allah Taala mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekelian makhluk”.

Pada tahun tersebut Rasulullah S.A.W. bersama-sama lebih kurang 1500 orang telah berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji tetapi tidak dapat mengerjakannya kerana telah dihalang oleh kaum Quraisy sehinggalah mewujudkan satu perjanjian yang dinamakan perjanjian Hudaibiah.

Perjanjian itu membuka jalan bagi perkembangan Islam di mana pada tahun berikutnya ( Tahun ke-7 Hijrah ), Rasulullah telah mengerjakan Umrah bersama-sama 2000 orang umat Islam.

Pada tahun ke-9 Hijrah barulah ibadat Haji dapat dikerjakan di mana Rasulullah S.A.W. mengarahkan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq mengetuai 300 orang umat Islam mengerjakan haji.

Rasulullah S.A.W Menunaikan Haji

Nabi kita Muhammad S.A.W telah menunaikan fardhu haji sekali sahaja semasa hayatnya. Haji itu dinamakan “Hijjatul Wada’/ Hijjatul Balagh/ Hijjatul Islam atau Hijjatuttamam Wal Kamal kerana selepas haji itu tidak berapa lama kemudian baginda pun wafat.

Baginda telah berangkat ke Madinatul Munawwarah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri dan sahabat-sahabatnya seramai lebih 90,000 orang Islam. Baginda telah menyempurnakan amalan-amalan sunat Ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah, sekarang dikenali dengan nama Bir Ali, 10 km daripada Madinah dan baginda sampai di Makkah pada 04 Zulhijjah setelah mengambil masa 9 hari dalam perjalanan. Baginda berangkat ke Mina pada 08 Zulhijjah dan bermalam di situ. Kemudian ke Arafah untuk berwukuf pada 09 Zulhijjah yang jatuhnya pada hari Jumaat.

Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan semua rukun dan wajib haji hingga 13 Zulhijjah. Dan pada 14 Zulhijjah, Rasulullah S.A.W telah berangkat meninggalkan Makkah Al-Mukarramah menuju balik ke Madinah Al-Munawwarah.

Peristiwa Semasa Hijjatul Wada'

Di masa wukuf terdapat beberapa peristiwa penting yang boleh dijadikan pegangan dan panduan umat Islam telah berlaku, di antara ialah seperti berikut :

1. Rasulullah S.A.W minum susu di atas unta supaya dilihat oleh orang ramai bahawa hari itu tiada puasa atau tidak sunat berpuasa pada hari wukuf.

2. Seorang Sahabat jatuh dari binatang tunganggannya lalu mati, Rasulullah S.A.W. menyuruh supaya mayat itu dikafankan dengan 2 kain ihram dan tidak membenarkan kepalanya ditutup atau diwangikan jasad dan kafannya. Sabda Baginda pada ketika itu bahawa “ Sahabat itu akan dibangkitkan pada hari kiamat di dalam keadaan berihram dan bertalbiah”.

3. Rasulullah S.A.W. menjawab soalan seorang ahli Najdi yang bertanyakan “ Apakah itu Haji ?”. Sabdanya yang bermaksud “ Haji itu berhenti di Arafah”. Siapa tiba di Arafah sebelum naik fajar 10 Zulhijjah maka ia telah melaksanakan haji.

4. Turunnya ayat suci Al-Quranul Karim surah Al-Maidah yang bermaksud : “ Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku telah cukupkan nikmatku ke atas kamu dan aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kami”

Daripada sejarah dan peristiwa ringkas itu cubalah kita teliti betapa Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan haji dengan pengorbanan Baginda bersama sahabat-sahabat yang berjalan dari Madinah Al-Munawwarah ke Makkah Al-Mukarramah selama 9 hari berbanding pada hari ini kita menaiki kapal terbang yang boleh sampai ke Tanah Suci kurang daripada 9 jam. Ini perkara yang perlu direnungkan apabila kita menghadapi sebarang kesusahan di tanah Suci kelak.

Jumaat, 16 Oktober 2009

DUA GOLONGAN YANG AKAN MENJADI PENGHUNI NERAKA

Ertinya:
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda, "Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni Neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor Iembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang­ lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya".

H.R. Muslim

Keterangan
Kebenaran sabdaan Rasulullah saw. ini dapat kita lihat dari realiti masyarakat yang ada pada hari ini. Ada golongan yang suka memukul orang dengan cemeti tanpa soal-siasat, bertindak kepada manusia dengan hukum rimba. Dan ramai perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang. Maksudnya, kalau kita hendak katakan berpakaian pun boleh, kerana masih ada secarik kain di atas badan, dan kalau kita hendak katakan bertelanjang pun boleh, kerana walau pun berpakaian tetapi hanya dengan secarik kain sahaja, maka samalah dengan bertelanjang. Atau pun ia berpakaian dengan pakaian yang sangat tipis sehingga menampakkan warna kulit dan mencorakkan bentuk aurat. Kemudian berjalan sambil menghayun-hayunkan badan dengan sanggul yang besar, seperti gob unta.

Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk ke dalam syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya, walaupun semerbak wanginya telah tercium dari jarak perjalanan selama 500 tahun sebelum sampai kepadanya.

Selasa, 6 Oktober 2009

PUASA SUNAT 6 HARI DI BULAN SYAWAL

Disunnahkan oleh syara mengiringi puasa di bulan Ramadan dengan berpuasa enam hari di dalam bulan Syawal. Setelah berpuasa enam, maka tidak ada acara menyambut Hari Raya yang dikhususkan untuk merayakan puasa enam seperti apa yang dinamakan “Hari Raya Ketupat Besar” sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian masyarakat Melayu.

Dalil-dalil yang menunjukkan sunnahnya puasa enam hari di bulan Syawal:


عَنْ اَبِيْ اَيُّوْبَ اْلاَنْصَارِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : اَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ اَتْبَعَهُ سِتَّا مِنْ شَوَّالِ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ.

“Dari Abi Ayub al-Ansari radiallahu ‘anhu: Bahawa Rasulullah bersabda: Barangsiapa berpuasa ramadan kemudian diikuti puasa enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti puasa setahun”. (H/R Muslim (1164). Ibn Majah (1612/1716). Imam Ahmad dalam musnadnya (2/204-5/417/419). Abu Daud (2433). Tirmizi (759). Nasaii dalam As-Sunan al-Kubra (2/2862). At-Thayalisi dalam Al-Musnad (hlm. 81). Abdurrazzak dalam Al-Musannaf (7918, 7919, 7921). Ibnu Syaibah dalam Al-Musannaf (3/97). At-Tahawi dalam Musykil al-Atsar (2238, 2340,2341,2345). Al-Baihaqi dalam As-Sunan Al-Kubra (4/292), H/R Ahmad 417. Muslim 822 (Kitabus Siam) no. 1164. Abu Daud. 2/812-813. (Kitabus Siam). No 2433. At-Turmizi . (Bab As-Siam) no 756 Turmizi berkata: Hadis hasan sahih. Ibnu Majah 3/206-207 (Kitabus Siam) no 1716)


عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ اِبْرَاهِيْمَ : اَنَّ اُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ كَانَ يَصُوْمُ اَشْهُرَ الْحُرُمِ ، فَقَالَ لَهُ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : صُمْ شَوَّالاً. فَتَرَكَ اَشْهُرَ الْحُرُمِ ثُمَّ لَمْ يَزَلْ يَصُوْمُ شَوَّالاًحَتَّى مَاتَ.

“Dari Muhammad bin Ibrahim bahawa Usamah bin Zaid berpuasa pada bulan-bulan mulia, lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda kepadanya: Puasalah pada bulan Syawal. Lalu dia meninggalkan puasa bulan-bulan mulia dan terus berpuasa dibulan Syawal hingga dia meninggal dunia”. (Lihat: Al-Jami As-Saghir 2/99 hadis no 5037. Imam as-Syuti menyebutkan bahawa hadis ini sahih. H/R Ibnu Majah no. 1744)


مَنْ صَامَ رَمَضَانَ فَشَهْرٌ بِعَشَرَةِ أَشْهُرٍ وَصِيَامُ سِتَّةِ أَيَّامٍ بَعْدَ الْفِطْرِ فَذَلِكَ تَمَامُ السَنَةِ

“Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadan, maka puasa sebelum itu sama dengan sepuluh bulan dan dengan puasa enam hari setelah berbuaka (berhari raya), maka itu melangkapi puasa setahun”. ((H/R Ahmad 5/280). Ibnu Majah (1715). An-Nasaai dalam As-Sunan Al-Kubra (2/2860). Al-Baihaqi dalam As-Sunan Al-Kubra (4/393) dan dalam Asy- Syu’bah Al-Imam 3/3736). Al-Khatib dalam Tarikh Baghdad (2/362) Ad-Darimi dalam As-Sunan (2/21). Ibnu Khuzaimah dalam Sahihnya (2115). At-Tahawi dalam Musykil Al-Atsar (2348). At-Tabrani dalam Musnad Asy- Syamiyin (903))

Menurut Imam An-Nanawi rahimahullah: “Para ulama berkata: Bahawa puasa enam setara dengan puasa setahun, kerana satu kebaikan diberi ganjaran sepuluh kali ganda. Puasa sebulan Ramadan sama dengan puasa sepuluh bulan, puasa enam pula sama dengan berpuasa dua bulan”. (Lihat: Syarah Muslim 3/238)

Menurut Ibn Qudamah rahimahullah: “Puasa enam hari di bulan Syawal disunnahkan sebagaimana pendapat kebanyakan para ulama, iaitu berdasarkan riwayat dari Ka’ab al-Ahbar, Asy-Syafie dan Maimun bin Mihran serta inilah pendapat Imam Asy-Syafie rahimahullah dan Ahmad”. (Lihat: Al-Baihaqi dalam Ma’rifat As-Sunan Wal-Atsar (3/450). An-Nawawi dalam Syarah Muslim (3/238). Abdullah bin Ahmad dalam Masail Ahmad hlm 93. Syarah ‘Umdatul Ahkam (2/556)). (Lihat: Al-Mugni (4/438))